Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Dua lelaki cedera parah selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter di Air Terjun Gunung Pulai, Kulai, tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Shafiq Sahit, 32, patah kaki kiri serta mengalami luka di bahagian tangan dan muka manakala rakannya, Ibrahim P. Mosar, 38, cedera di bahagian kepala, pinggang dan kaki kiri.
Menurut Komander Operasi, Bahtiar Selamat, pusat gerakan operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan mangsa jatuh gaung di Air Terjun Gunung Pulai pada pukul 12.18 tengah hari.
Katanya, sebuah jentera LFRT Dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dengan kekuatan 11 orang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus panggilan kecemasan diterima.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa telah jatuh ke gaung yang berkedalaman 50 meter dan mangsa dijumpai dalam keadaan cedera.
“Tindakan operasi menyelamat mangsa menggunakan tali menyelamat dan dua unit alat pengusung. Mangsa diserahkan kepada pihak Hospital Kulai untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bahtiar berkata, kedua-dua mangsa berada di tempat kejadian untuk mendaki gunung berkenaan sebelum ditimpa malang.
Katanya, operasi menyelamat mengambil masa hampir tiga jam dan ditamatkan kira-kira pukul 3.40 petang.-K! ONLINE