LONDON – Pelaburan Chelsea membeli Pernille Harder daripada Vfl Wolfsburg baru-baru ini amat berbaloi apabila penyerang itu dinobatkan pemain terbaik wanita Eropah bagi musim 2019/2020.
The Blues sanggup memecahkan rekod perpindahan termahal dunia buat pemain wanita semata-mata mahu mendapatkan tandatangan Harder, 27, dengan harga sebanyak £250,000 (RM1.35 juta).
Chelsea mengharapkan kehadiran bintang Denmark itu mampu membantu pasukan wanita mereka meraih pelbagai kejayaan domestik dan Eropah sama seperti skuad lelaki kelab dari London tersebut.
Sebagai rekod, Harder yang boleh beraksi sebagai pemain tengah dan penyerang, berjaya membantu bekas kelabnya, Wolfsburg mara ke final Liga Juara-Juara Wanita menentang Lyon musim lalu.
Bekas pemain Linkoping dan Skovbakken itu adalah penjaring terbanyak saingan Bundesliga dengan 27 gol dalam 22 aksi, sekali gus membantu Wolfsburg menjuarai kejuaraan liga domestik musim lalu.
“Saya sangat gembira dengan anugerah ini. Ia membakar semangat saya untuk terus memberikan prestasi terbaik, kali ini bersama pasukan baharu, Chelsea,” kata Harder yang juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah pada 2018.
Harder mampu membentuk gandingan mantap dengan penyerang Australia, Samantha Kerr agar Chelsea berjaya mempertahankan gelaran Liga Super Wanita daripada dirampas pencabar terkuat yang juga musuh tradisi, Arsenal. –AGENSI