PUTRAJAYA – Selepas lapan minggu berjuang di pentas Big Stage 2020 (BS2020), Azzam Sham diumumkan sebagai juara musim ketiga pada konsert akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Azzam, 23, membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Dalam persembahannya malam tadi, pemilik nama penuh Muhammad Azzammuddin Lop Hisham itu berjaya memperolehi markah 67.85 peratus daripada para juri.
Pada pentas akhir sebentar tadi, Azzam Sham mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu (Datuk Siti Nurhaliza) dan Grenade (Bruno Mars).
Kemenangan Azzam tersebut sekali gus meletakkan Usop di tempat kedua dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.
Manakala, tempat ketiga pula menjadi milik Qody Rany dan menerima wang tunai berjumlah RM25,000.
Tempat keempat dan kelima dimenangi Dinie Rashid dan Fadh Majid.
Dinie membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala Fadh Majid RM5,000.
Konsert akhir Big Stage yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Al Hadad menampilkan Ajai, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar sebagai juri, manakala Presiden Netizen pula kekal dipegang Elly Mazlein.
Pentas akhir BS2020 juga buat pertama kali menyaksikan finalis dibarisi hanya peserta lelaki. – K! ONLINE
[VIDEO] Selepas lapan minggu berjuang di pentas Big Stage 2020 (BS2020), Azzam Sham diumumkan sebagai juara musim ketiga pada konsert akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sebentar tadi.
Berita penuh klik https://t.co/cMZuvmfxSj
Video oleh NUR EMIRA pic.twitter.com/w2vpre9f8p
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 4, 2020