fbpx

Si Tanggang versi Muar disumpah menjadi helang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL ALIM menunjukkan batu laut di daratan yang dipercayai kapal Si Tanggang.

DISUMPAH menjadi batu akibat menderhaka kepada ibu. Itu versi hikayat Si Tanggang yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Melayu yang menjadi pengajaran dan pedoman sejak dahulu hingga kini.

Meskipun cerita itu dianggap mitos, namun kisah tersebut menimbulkan persoalan lantaran penemuan batu ganjil di beberapa lokasi dipercayai mempunyai kaitan dengan Si Tanggang.

Di Indonesia, nakhoda kapal yang dikenali sebagai Malim Kundang itu dikaitkan dengan penemuan sebuah batu seakan-akan manusia bersujud di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat.

Sejarah mengenai tempat bernama Jong Batu di Bandar Seri Begawan, Brunei juga didakwa ada kaitan dengan Si Tanggang apabila terdapat sebuah batu berbentuk seperti kapal karam.

Bagaimanapun, Si Tanggang yang sering dikaitkan dengan sumpahan menjadi batu ini sebenarnya turut mempunyai cerita berbeza di negara ini.

Di perkampungan Bukit Treh, Muar, Johor, penduduk pada zaman dahulu percaya sejarah Si Tanggang wujud di kawasan mereka, namun mendakwa nakhoda kapal itu sebenarnya telah disumpah menjadi seekor burung helang manakala kapalnya bertukar menjadi batu.

Masyarakat kampung yakin kapal Si Tanggang bersama pengikutnya telah berlabuh di kawasan ini apabila sumpahan berlaku.

Dakwaan itu tercetus rentetan penemuan sebuah objek batu menyerupai bentuk sebuah kapal, selain lambakan pelbagai batu karang dan batu laut yang seolah-olah menjadi bukti bahawa persekitaran Bukit Treh pada masa dahulu adalah kawasan perairan.

Seorang penduduk asal yang juga bekas ketua kampung di situ, Abdul Alim Johari, 56, berkata, Si Tanggang yang kononnya disumpah menjadi batu sebenarnya telah ditukar menjadi seekor helang selepas menderhakai ibunya.

 

MAKAM lama di Bukit Treh, Muar ini dipercayai kubur ibu Si Tanggang.

 

“Di Kampung Bukit Treh, kisah Si Tanggang ini sedikit berbeza. Walaupun tidak dapat dipastikan waktu kejadian itu, namun penduduk yakin kapal Si Tanggang telah berlabuh di sini apabila didatangi ibunya. Dek kerana berasa kecil hati dengan sikap anaknya itu, si ibu telah menyumpah kapal tersebut menjadi sebuah batu dan Si Tanggang menjadi burung helang.

“Mitos itu menjadi kuat apabila sewaktu kecil, saya dan rakan-rakan kerap menemui seekor helang yang sentiasa terbang berlegar-legar di sebuah kubur lama berhampiran bukit ini. Dakwa masyarakat dahulu, kubur itu sebenarnya milik ibunya. Jadi ia terbang di situ kerana menyesali perbuatannya, seolah-olah cuba meminta ampun dengan ibunya,” katanya kepada Panorama.

Menurut Abdul Alim, burung yang kelihatan terbang di sekitar kubur itu turut berteriak bunyi pelik yang kedengaran seolah-olah “oh makku!”.

“Bunyi pelik itu menyebabkan penduduk beranggapan Si Tanggang datang ke kubur ibunya. Kelibat Si Tanggang pada masa itu memang mudah kelihatan. Saya pun nampak masa bermain dengan rakan-rakan. Ia pasti berlegar-legar di situ pada setiap petang dan hilang apabila malam berlabuh. Begitulah kejadian hampir setiap hari,” katanya.

Tambahnya, meskipun teriakan burung itu kedengaran pelik, namun terdapat pantang larang sekiranya bunyi itu sengaja diajuk.

“Orang dahulu cakap, kalau helang melalui kawasan itu, jangan diejek, nanti telinga akan ditimpa sakit. Bagaimanapun, itu kisah suatu dahulu, sejauh mana kesahihannya kami juga tidak pasti,” ujarnya.

 

TEMPAT dinamakan Jong Batu di Brunei ini juga dikaitkan dengan Si Tanggang apabila terdapat batu yang berbentuk kapal.

 

Dek kerana legenda tersebut, maka perkampungan yang dibuka sejak empat generasi itu kemudiannya diberikan nama Bukit Treh mengaitkan Si Tanggang yang telah ‘bertreh’ dengan ibunya.

“Perkataan treh ini bermaksud berkelahi. Kerana percaya legenda Si Tanggang pernah wujud di sini, maka penduduk sepakat menggunakan nama kampung Bukit Treh.

“Kampung yang dibuka oleh datuk saya ini sekarang dihuni kira-kira 400 penduduk termasuk sebuah kampung rangkaian iaitu Parit Beting,” ujar Abdul Alim.

Sementara itu, Penghulu Kanan Daerah Muar, Ariffpudin Abd. Latif berkata, meskipun sejarah Si Tanggang di Bukit Treh mempunyai versi berbeza dan kesahihannya tidak dapat dipastikan, namun penemuan objek unik iaitu batu berbentuk kapal, batu laut, batu karang dan sebuah makam lama mendorong pihak pentadbiran mukim dan daerah untuk melindungi khazanah tersebut.

“Menurut penduduk, tiada lagi kelibat burung helang kelihatan selepas projek tangki air dibina di sini,” ujarnya.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI