DARI jauh kelihatan susuk tubuh seorang lelaki berkulit gelap dalam lingkungan usia 60-an gigih menggali tanah bagi membuat terusan di kampungnya.
Difahamkan, lelaki dikenali dengan nama Laungi Bhuiyan itu mula menggali tanah untuk dijadikan terusan sepanjang tiga kilometer (km) sejak 30 tahun lalu.
Terusan yang dihasilkan bertujuan membolehkan air hujan dari kawasan bukit berdekatan dapat mengalir ke kawasan lapang di kampungnya di Kothilawa kira-kira 80 kilometer (km) dari daerah Gaya dan 400 km dari bandar Bihar di India.
Memetik laporan portal berita antarabangsa, India Times, usaha lelaki tersebut akhirnya membuahkan hasil walaupun terusan itu mengambil masa yang begitu lama untuk disiapkan.
“Ya, memang saya mengambil masa selama 30 tahun menggali tanah untuk membuat terusan yang mengalirkan air dari bukit berdekatan terus ke kolam di kampung.
“Saya menggali seorang diri tanpa bantuan sesiapa dengan hanya menggunakan peralatan tangan seperti cangkul dan pahat serta tidak menggunakan apa-apa alatan atau teknologi canggih.
“Setiap hari, saya berulang-alik dari rumah ke hutan terdekat untuk menjaga haiwan ternakan, sambil menggali terusan sepanjang 3 km hingga siap sepenuhnya,” katanya.
Berkat usaha gigihnya tanpa mengira penat lelah dan jemu dengan berpanas serta berhujan, akhirnya dia berjaya menyiapkan sebuah terusan dengan ukuran lebar 1.2 meter dan sedalam 0.9 meter.
Menurutnya, ramai penduduk di kampungnya sudah berhijrah untuk menetap di bandar dan memulakan kehidupan baharu, ekoran masalah kekurangan kemudahan asas di situ.
Berbeza dengan dirinya, dia tetap setia untuk tetap tinggal di kampung itu dan menolak berhijrah ke tempat lain.
Rata-rata penduduk kampung tersebut hanya bekerja sebagai petani dan penternak bagi menampung kehidupan seharian mereka.
Dikelilingi hutan tebal dan kawasan berbukit-bukau, kampung kecil tersebut dikenali sebagai tempat perlindungan bagi kaum Maoists yang pernah cuba untuk menggulingkan pemerintahan kerajaan India satu ketika dahulu.
Dalam pada itu, seorang guru tempatan dikenali sebagai Ram Vilas Singh memuji tindakan murni Laungi kerana telah memberi banyak manfaat dan kemudahan kepada penduduk desa serta ladang milik mereka.
“Menerusi usaha kerasnya, banyak orang mendapat manfaat. Budi dan jasanya sangat besar hingga menyebabkan orang mengenalinya melalui pekerjaan yang dilakukannya itu,” katanya.
Seorang penduduk, Patti Manjhi pula berpendapat, usaha keras tanpa mengenal erti putus asa lelaki itu memberi kemudahan buat haiwan ternakan untuk mendapatkan sumber air minum.
“Dia tidak melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, malah memberi manfaat kepada seluruh kampung ini,” katanya.