IPOH – Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan terpaksa berhadapan dengan kesesakan kira-kira lapan kilometer setelah sebuah treler terbabas di Kilometer 264.6 selepas Terowong Menora dekat sini.
Menurut kemaskini yang dimuat naik PLUS dalam laman sosial Twitternya pada pukul 1.51 tengah hari, kerja-kerja pengalihan treler tersebut sedang giat dijalankan.
Menurutnya, laluan kontra juga telah dibuka bagi mengurangkan kesesakan dan PLUS turut meminta pengguna merancang perjalanan mereka.
“Sila patuhi arahan pengawal atau papan tanda trafik di lokasi. Pandu cermat. Terima kasih atas kerjasama,” katanya.
Kerja-kerja pengalihan kenderaan kemalangan di Kilometer 264.6 PLUS arah selatan selepas Terowong Menora itu telah dijalankan sejak pukul 11 pagi tadi. -K! ONLINE