fbpx

Tengku Amir pemilik Selangor FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU AMIR akan menjadi pemegang saham utama dalam syarikat Red Giants FC yang mengendalikan pasukan Selangor FC selepas penswastaan minggu ini.

PERSATUAN Bola Sepak Se­langor (FAS) mendedahkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menjadi pemilik bersama kelab bola sepak Sela­ngor (Selangor FC) selepas pro­ses penswastaan dilaksanakan pada minggu ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon mengesahkan kelulusan daripada Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berjaya dicapai awal minggu ini dengan syarikat Red Giants FC Sdn. Bhd. diberikan tugas sebagai pengendali Selangor FC.

“Tanggungjawab mengendalikan skuad utama Selangor, Se­langor 2, pasukan Futsal Sela­ngor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Wanita Selangor pula bakal menjadi fokus utama Selangor FC di bawah pengendalian Red Giants FC Sdn. Bhd. (Red Giants FC).

“Syarikat ini dimiliki oleh beberapa pemegang saham termasuk Tengku Amir selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Sela­ngor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

“Bagaimanapun, struktur pegangan saham ini bukan sesuatu yang kekal kerana Red Giants FC sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Johan percaya melalui proses pen­swastaan, perbezaan peranan yang lebih jelas dapat dilihat antara pengurusan FAS dan pa­sukan Selangor FC.

“FAS selepas ini akan memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu para pengadil selain membangunkan liga dan kejohanan bola sepak di peringkat negeri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, FAS turut mengesahkan logo ke­ramat pasukan sedia ada akan terus digunakan oleh skuad Se­langor FC dengan perubahan hanya dilakukan pada pertukaran ayat persatuan ke kelab.

“Sebarang proses perubahan identiti pasukan mungkin akan berlaku sekitar dua atau tiga tahun yang akan datang tetapi buat masa ini kita akan kekalkan lambang pasukan sedia ada,” kata Johan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI