fbpx

Siapa bakal mencipta keajaiban di Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE, PENGARANG BERITA KOSMO.

SAINGAN Liga Juara-Juara yang menghimpunkan kelab gergasi bola sepak Eropah kembali membuka gelanggang selepas undian peringkat kumpulan berlangsung di Geneva, Switzerland malam kelmarin.

Pastinya peminat bola sepak seluruh dunia menanti-nantikan untuk menyaksikan acara undian tersebut kerana ingin mengetahui siapa akan melawan siapa.

Usai undian, mungkin ada yang berasa lega, teruja dan tidak kurang juga yang terbeliak mata apabila melihat pasukan kegemaran berada dalam kumpulan maut atau ratahan.

Penulis percaya peminat fanatik akan mula berdebat, membahas serta mengupas hasil undian saingan Liga Juara-Juara itu, persis pakar dan pengulas bola sepak profesional. Pastinya rancak sekali.

Apa kata penyokong Manchester United? Diundi bersama Paris Saint-Germain (PSG), RB Leipzig dan Istanbul Basaksehir dalam Kumpulan H.

Ada yang menyifatkan The Reds Devils berada dalam kumpulan maut, namun belum pasti kerana peluang mungkin 50-50 atau undian itu bak pucuk dicita ulam mendatang.

Bagaimana pula dengan tetangganya, Manchester City yang diundi bersama FC Porto, Olympiakos dan Marseille dalam Kumpulan C?

Itu satu-satunya kejuaraan yang sangat diimpikan oleh The Citizens selepas kelab mewah England itu dimiliki oleh Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan sejak tahun 2008.

Jangan dilupakan wakil dari London, Chelsea yang sudah berbelanja besar musim ini. The Blues yang sangat bercita-cita tinggi itu diundi dalam Kumpulan E bersama Sevilla FC, Krasnodar dan Rennes.

Bagaimanapun, tugas getir menanti pengendalinya, Frank Lampard bagi memenuhi jangkaan bukan hanya kepada pemilik Chelsea bahkan para penyokong The Blues di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Bagi sang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool pula seolah-olah tidak peduli diundi bersama Ajax, Atalanta dan FC Midtjylland dalam Kumpulan D.

Ibarat tempat jatuh lagi dikenang, The Reds bimbingan Jurgen Klopp mungkin mempunyai matlamat iaitu ingin mengulangi sejarah ‘Miracle of Istanbul’ 2005.

Ini kerana aksi final Liga Juara-Juara dijadualkan berlangsung di Stadium Ataturk, Istanbul pada 29 Mei tahun depan.

Itu senario bagi empat wakil England dalam saingan Liga Juara-Juara kali ini, pasukan lain biarlah penyokong masing-masing mengulasnya lebih lanjut.

Menariknya, undian kelmarin turut mempertemukan dua jagoan terbaik yang mendominasi dunia bola sepak lebih 15 tahun dan kini bersemuka kembali selepas Juventus dan Barcelona diundi dalam satu kumpulan.

Pertemuan itu pastinya memanjangkan lagi perseteruan antara Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sejak penyerang antarabangsa Portugal itu meninggalkan Real Madrid untuk ke Juventus pada tahun 2018.

“Aksi menentang Barcelona akan menjadi cabaran hebat dan sangat menarik kerana menampilkan dua pemain yang pada saya kedua-duanya masih pemain terbaik di dunia,” kata Naib Presiden Juventus, Pavel Nedved.

Aksi Liga Juara-Juara dijadualkan membuka tirai pada 20 dan 21 Oktober ini dan siapa bakal mencipta keajaiban di Istanbul pada 29 Mei 2021.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI