Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas 1.3 tan beras seludup selepas menahan sebuah kereta Proton Waja di Kampung Padang Licin di sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan Superintanden Azhari Nusi berkata, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki itu ditahan pada pukul 10 malam selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan itu.
Menurutnya, sepasukan anggota PGA telah mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di jalan Pasir Mas menghala ke Rantau Panjang.
“Suspek memandu kereta dengan tidak memasang lampu belakang itu berjaya ditahan di Kampung Padang Licin.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menemui 52 kampit besar beras seberat 1.3 tan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azhari berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku menyeludup beras dari pengkalan haram untuk dihantar kepada pembeli di Pasir Puteh.
Tambahnya, suspek turut mengaku telah melakukan aktiviti ini beberapa kali mengikut pesanan yang diterima.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kereta yang dipandu suspek dianggarkan bernilai RM23,200.
“Suspek dan semua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.-K! ONLINE