ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTB) melancarkan tabung kutipan Derma Tabung Hari Pahlawan hari ini.
PVATTB yang ditubuhkan sejak setahun lalu menyeru kepada bekas tentera yang tidak mempunyai pencen agar menyertai persatuan itu kerana banyak kemudahan disediakan.
Yang Dipertua PVATTB, Che Russ Mamat berkata, tabung kutipan itu pertama kali dilancarkan selepas wujudnya persatuan yang kini disertai hampir 1,000 di seluruh negeri ini.
Katanya, kutipan itu akan diteruskan oleh tujuh cawangan PVATTB di negeri ini selepas menerima surat dari ibu pejabat persatuan di ibu negara.
“Kita berharap kepada semua tentera yang tidak berpencen agar mengambil peluang mendaftar seberapa segera.
“Semua ahli yang berdaftar akan diberi layanan yang istimewa termasuk kos rawatan hospital dan khairat kematian,” katanya.
Tambah Che Russ, semua ahli diminta menghulurkan sumbangan untuk mengisi tabung hari pahlawan yang dilancarkan oleh Jabatan Hal Ehwal (JEV) baru-baru ini dan akan berakhir Disember nanti.-K! ONLINE