SHAH ALAM – Anak perempuan ahli jawatankuasa surau Apartmen Sri Ixora, Seksyen 27 di sini yang meninggal dunia ketika melaungkan azan kelmarin berazam bergelar hafizah al-Quran bagi memenuhi impian arwah bapanya.
Siti Norzulaika Rosliman, 18, berkata, arwah bapanya, Rosliman Osman, 60, memang mahukan salah seorang daripada 10 anaknya menghafaz kitab suci itu.
Anak kelapan itu mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah di Temerloh, Pahang.
“Saya pernah menduduki temuduga secara online bagi mengikuti pengajian di Darul Quran Kuala Kubu Bharu pada Mac lalu, tetapi tidak berjaya.
“Saya berazam mahu mencuba lagi pada tahun hadapan kerana temu duga memasuki Darul Quran dibuat hanya sekali setahun. Mendalami ilmu al-Quran bukan impian ayah semata-mata, tapi saya juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Artikel berkaitan : Tatap wajah isteri sebelum pergi
Sementara itu, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, mengikut keterangan abang Siti Norzulaika, Mohd.Iddham, 30, adiknya gagal temu duga itu disebabkan terdapat gangguan pada sistem telekomunikasi.
“Pihak LZS akan berhubung dengan Darul Quran Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan tempat untuk Norzulaika menduduki ujian atau penilaian.
“Siasatan mendapati keluarga arwah Rosliman layak menerima bantuan sebagai asnaf termasuk sewa rumah sebanyak RM800 sebulan serta keperluan pendidikan dua anaknya yang masih belajar,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM500 bagi meringankan beban keluarga arwah Rosliman.-K! ONLINE