PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai presiden persatuan tersebut pada 25 September lalu.
Menurutnya, peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 15 Oktober ini.
“Tindakan ini tiada kena mengena dengan isu logo atau nama pasukan Darul Aman FC (DFC) kerana surat peletakan jawatan itu telah saya serahkan lebih awal sebelum perkara berkenaan ditimbulkan pada 30 September lalu.
“Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 15 Oktober ini dengan saya menyasarkan untuk menyelesaikan semua hutang-piutang KFA serta urusan pendaftaran penswastaan pada tarikh tersebut,” katanya di Alor Setar semalam.
Semalam Muhammad Sanusi menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut yang baru disandangnya pada 12 Julai lalu.
Hantaran tersebut dimuat naik sehari selepas KFA berdepan kecaman penyokong susulan pemilihan nama DFC dan logo bagi proses penswastaan pasukan musim depan yang disifatkan sebagai tidak menepati kehendak serta selera masa kini.
Sementara itu, Sanusi berkata, ketika ini beliau melihat lebih banyak pihak menyokong keputusannya untuk berundur daripada terus memegang tampuk kepimpinan KFA.
“Ramai bagi maklum balas positif terhadap hasrat saya untuk berundur seperti saya nyatakan di Facebook.
“Perkara itu tentunya selari dengan hasrat saya untuk berundur seperti dimaklumkan kepada KFA dalam surat peletakan jawatan yang saya serahkan pada 25 September lalu,” katanya.