GENEVA – Kecemerlangan Robert Lewandowski sepanjang musim lalu dengan membantu Bayern Munich menjuarai gelaran trebel akhirnya berbaloi apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) musim 2019/2020.
Penyerang prolifik Poland itu berjaya meledak 55 gol daripada 47 perlawanan dalam semua kejohanan musim lalu, selain memainkan watak utama terhadap kejayaan Bayern menjuarai gelaran Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara.
“Anugerah ini cukup istimewa buat saya selepas bekerja keras sepanjang musim lalu. Terima kasih buat rakan-rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan kerana tanpa mereka, saya tidak akan memenangi anugerah ini,” kata Lewandowski.
Bintang berusia 32 tahun itu berjaya menewaskan rakan sepasukannya yang juga kapten Bayern, Manuel Neuer dan pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne untuk memegang status sebagai pemain terbaik benua Eropah.
Lewandowski kini menyertai senarai pemenang-pemenang edisi terdahulu antaranya tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk yang memenanginya pada musim 2018/2019, Luka Modric (2017/2018) dan Cristiano Ronaldo (2016/2017).
Bekas penyerang Borussia Dortmund itu juga menjadi pilihan utama untuk memenangi Ballon d’Or jika anugerah itu tidak dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.
Kejayaan itu pastinya membakar semangat Lewandowski untuk membantu Bayern selaku juara Eropah bagi menghadapi saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara selepas diundi bersama Atletico Madrid, RB Salzburg dan Lokomotiv Moscow. – AGENSI