fbpx

Kelantan FC, Negeri Sembilan berkongsi mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain sayap TRW Mohamad Amirul Shafik (kiri) bersama dua rakan sepasukan meraikan jaringannya pada minit ke-28.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Skuad The Red Warriors (TRW) terlepas peluang untuk meraih kemenangan selepas hanya sekadar seri 2-2 dengan Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.

Penyerang import Negeri Sembilan, Igor Carneiro menjadi penyelamat pasukan itu apabila bijak mencuri peluang di depan pintu gol Kelantan FC untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-87.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 yang tenang disempurnakan oleh Jose Neto untuk menewaskan Mohamad Fikri Che Soh di gawang gol Kelantan FC.

Pemain muda TRW, Mohammad Amirul Shafik Che Soh meredakan seketika tekanan pasukannya apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-28 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Tujuh minit kemudian, Mohammad Amirul Shafik hampir menggandakan jaringan TRW, namun rembatan derasnya gagal menepati sasaran.

Bersambung babak kedua, TRW memperagakan aksi lebih bertenaga dengan asakan bertali arus ke kubu pelawat tetapi dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Keghairahan Kelantan FC memburu jaringan hampir dihukum Negeri Sembilan pada minit ke-55 sebelum Mohamad Fikri menjadi wira pasukan apabila berjaya menepis tandukan silang pemain pelawat Izaaq Izhan Yuswardi.

Pada minit ke-74, pemain gantian Muhammad Hakimi Abdullah yang tidak dikawal ketika itu terlepas peluang meledakan jaringan kedua Kelantan FC apabila rembatannya berjaya diselamatkan oleh pemain pertahanan pelawat.

Tindakan Che Mohammad Safwan Hazman Che Hassan menjatuhkan Mohammad Amirul Shafik pada minit ke-81 mengundang padah apabila pengadil Ahmad Zuhadi Dzulkifli memberikan sepakan penalti untuk TRW.

Perancang tengah sensasi TRW, Nik Akif Syahiran Nik Mat tenang menyempurnakan sepakan penalti menerusi rembatan padu ke sudut sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan untuk menewaskan Muhamad Hamka Daud pada minit ke-82.

Bagaimanapun, jaringan itu hanya bertahan selama lima minit apabila Igor Carneiro menyelamatkan Negeri Sembilan menerusi keputusan 2-2. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI