fbpx

Covid-19: Donald Trump diterbangkan ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah diterbangkan ke hospital menggunakan helikopter tidak kurang daripada 24 jam selepas beliau didapati positif koronavirus, lapor portal berita BBC sebentar tadi.

White House berkata, keputusan memindahkan beliau ke Pusat Perubatan Tentera Kebangsaan Walter Reed dibuat sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.

Semalam, Trump yang menunjukkan tanda-tanda demam berkata, beliau dan Wanita Pertama AS, Melania Trump didapati positif Covid-19.

White House menyatakan Trump berasa ‘letih tetapi bersemangat baik’ dan mengalami simptom-simptom sederhana.

Berita mengenai jangkitan Covid-19 itu muncul dalam tempoh hampir sebulan sebelum pilihan raya Presiden, dengan Trump bakal berdepan saingan pencabarnya, Joe Biden.

Tengah hari semalam (waktu tempatan), Trump yang memakai pelitup muka berjalan merentasi laman White House ke helikopter Marine One untuk ke hospital.

Beliau sempat melambai tangan dan menunjukkan isyarat bagus kepada pemberita, tanpa berkata apa-apa semasa menaiki helikopter.

Satu rakaman video di Twitter, Trump berkata:

“Saya mahu berterima kasih kepada semua orang atas sokongan luar biasa. Saya akan ke Hospital Walter Reed. Saya rasa saya berada dalam keadaan amat baik.”

“Tetapi kami akan memastikan semua perkara berjalan lancar. Wanita Pertama berada dalam keadaan amat baik. Jadi, terima kasih semua, saya menghargainya, saya tidak akan lupakannya – Terima kasih.”

Anak-anak Presiden Trump, Ivanka dan Eric, berkongsi perkongsian Trump dengan memujinya sebagai seorang ‘wira’.

Sebaik tiba di Walter Reed, presiden tidak dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan tetapi ke suit presiden di hospital itu, menurut agensi berita CBS News.

Setiausaha Akhbar White House, Kayleigh McEnany dalam satu kenyataan berkata:

“Presiden Trump kekal dengan semangat baik, ada simptom-simptom sederhana dan bekerja sepanjang hari.

“Atas langkah berjaga-jaga dan nasihat pakar-pakar perubatan, Presiden akan bekerja dari pejabat presiden di Walter Reed untuk beberapa hari akan datang.”

Antara simptom tahap rendah Trump ialah demam, menurut CBS.

Walter Reed, di Washington DC ialah pusat perubatan ketenteraan terbesar dan terkenal AS. Lazimnya, Presiden akan ke pusat berkenaan untuk pemeriksaan kesihatan tahunan.

Pengarah Komunikasi White House, Alyssa Farah berkata, Presiden belum menyerahkan kuasanya kepada Naib Presiden Mike Pence.

“Presiden masih berkuasa,” katanya. – Agensi

Hospital Walter Reed
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI