LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya, skuad kendaliannya semakin menunjukkan kematangan selepas menewaskan Liverpool 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan keempat Piala Liga di laman keramat Anfield awal pagi semalam.
Kemenangan itu melayakkan The Gunners ke peringkat suku akhir selepas memenangi aksi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit perlawanan tersebut.
Lebih manis, kemenangan itu berjaya menebus kekecewaan Arsenal selepas tewas 1-3 kepada Liverpool di venue sama sewaktu aksi Liga Perdana Inggeris pada Selasa lalu.
“Saya sangat gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh semua pemain. Kami memperbaiki beberapa kelemahan ketika tewas sebelum ini dan ia telah membuahkan hasil.
“Kami berjaya memberi tentangan lebih sengit serta agresif. Pemain-pemain saya juga dapat memberikan tekanan yang cukup tinggi kepada mereka sepanjang perlawanan,” kata Arteta.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu enggan berasa terlalu selesa meskipun berjaya menewaskan Liverpool sebanyak dua kali menerusi penentuan sepakan penalti termasuk ketika pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Piala Perisai Komuniti dua bulan lalu.
“Bukan mudah apabila datang beraksi di Anfield kerana ia memerlukan kerja keras. Masih jauh beza antara Arsenal dengan Liverpool tetapi saya yakin kami sudah berada pada landasan tepat,” jelasnya. – AGENSI