SETIAP wanita pasti mengimpikan mahligai perkahwinan yang dibina bersama pasangan akan berpanjangan sehingga ke anak cucu.
Bagaimanapun, Nana (bukan nama sebenar) terpaksa akur dengan jalan takdir hidupnya selepas perkahwinan yang dibina bersama Alif (bukan nama sebenar) berakhir dengan perceraian.
Kecurangan bekas suaminya itu sebenarnya telah dikesan beberapa kali sebelum perpisahan akhirnya terjadi dua tahun lalu selepas kira-kira 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Mengimbau kembali kejadian yang berlaku, wanita berusia 45 tahun itu berkata, perpisahan antaranya dan suami berpunca daripada kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka.
Cerita Nana, dia tidak pernah menyangka hubungan bersama suami yang dibina atas dasar cinta mula retak ketika usia perkahwinan sudah menjangkau lapan tahun. Pada masa itu, umur anak tunggal mereka berusia tujuh tahun.
“Saya mula mengesyaki Alif bermain kayu tiga selepas menemui koleksi mesej perbualan seorang wanita tidak dikenali dengan suami yang disimpan di dalam e-mel suami.
“Saya percaya mesej itu telah dipadam daripada telefon bimbit lalu dipindahkan ke e-melnya bagi mengelakkan kecurangannya diketahui. Mesej itu seakan-akan mesej daripada aplikasi sembang.
“Kalau sekadar bertanya khabar tidak mengapa lagi, ini tidak, bunyinya seolah-olah mereka sedang dilamun cinta. Panggilan sayang antara mereka berdua sudah cukup membuktikan dia berlaku curang di belakang saya,” luahnya kesal kepada K2.
Nana yang sebelum ini bertugas sebagai pramugari mengakui, mungkin ketiadaannya kerana kesibukan bekerja di luar negara membuka peluang untuk suaminya berbuat demikian.
Abai tanggungjawab
Bagaimanapun katanya, itu bukan alasan untuk suami bermain kayu tiga sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Beberapa kali saya minta suami jelaskan keadaan sebenar namun dia berdolak-dalik. Lebih menyakitkan hati, saya pula dikatakan cemburu buta dan suka membesar-besarkan cerita.
“Saya terpaksa beralah dan hanya mampu bersabar dengan perangainya kerana tidak mahu anak menjadi mangsa di atas keretakan hubungan kami,” ceritanya yang berasal dari selatan tanah air.
Selepas enam tahun hidup bersulam air mata, kesabaran Nana sekali lagi diuji selepas dia terjumpa kesan gincu ketika ingin mencuci pakaian suaminya itu.
“Kali ini kami bergaduh besar sehingga perkara tersebut sampai ke pengetahuan keluarga.
“Keluarga saya dan mertua cuba menasihatkan kami agar tidak membuat keputusan terburu-buru selain mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Walaupun terpaksa makan hati, saya akur dan kembali ke pangkuan Alif dan semua dilakukan demi kebahagiaan anak,” katanya yang turut mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi fokus kepada keluarga.
Empat tahun berlalu, sandiwara Alif akhirnya terbongkar selepas anak lelakinya sendiri yang pada masa itu sudah berusia 17 tahun ternampak bapanya berfoya-foya dengan wanita lain ketika mengekori kereta lelaki itu.
“Apa yang saya diberitahu, anak saya nampak seorang wanita muda menaiki kenderaan itu bersama suami.
“Tidak terhenti di situ, dia juga lihat mereka kemudian makan bersama dan begitu mesra tidak ubah seperti pasangan kekasih.
“Suami juga menghantar wanita itu pulang ke rumah dan memasuki kediaman wanita itu sehingga berjam-jam lamanya,” cerita Nana.
Wanita itu memberitahu, dia tidak fikir anaknya mereka-reka cerita memandangkan dia juga sudah masak dengan perangai playboy bapanya itu.
“Kami sekali lagi bertikam lidah, namun suami masih mahu menegakkan benang basah. Pun begitu, kali ini saya tekad untuk meletakkan noktah dalam hubungan kami.
“Sebagai ibu, saya tidak sanggup melihat anak saya menjadi saksi kecurangan ayahnya sendiri.
“Anak memang rapat dengan saya lebih-lebih lagi selepas apa yang terjadi antara saya dan suami. Sejak peristiwa itu, dia berubah menjadi pendiam dan hubungan dengan bapanya bertambah dingin,” katanya.
Nana akhirnya memfailkan permohonan cerai terhadap Alif di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang dan mereka akhirnya berpisah kira-kira dua tahun lalu.
Wanita itu yang kini mengusahakan perniagaan katering berkata, biarpun bakal meniti hari tua berseorangan, dia reda dengan ketentuan takdir.
“Saya terima semuanya dengan hati terbuka. Mungkin saya lebih bahagia begini daripada hidup terus dikhianati orang yang disayangi,” katanya.
Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.