JOHOR BAHRU – Gara-gara tersalah alamat tuntutan pinjaman wang tanpa lesen atau ah long, seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian kira-kira RM3,000 apabila rumah dan kenderaan di simbah cat dalam kejadian pagi tadi.
Mangsa, Abdul Hadi Omar, 65, berkata, ketika kejadian pada pukul 8 pagi dia berada di rumahnya yang terletak di Jalan Permatang 7, Kempas Baru di sini.
Menurutnya, dia menyedari pagar rumah, dinding serta dua buah kereta iaitu Honda City dan Nissan Serena disimbah cat merah dipercayai dilakukan ah long.
“Saya menyedari kejadian ini selepas keluar rumah pagi ini, ini perbuatan ah long untuk kutip hutang, saya tak pernah berhutang dengan mana-mana ah long.
“Mereka ada tinggal sekeping kertas tertera nombor telefon dan mengungut untuk membakar rumah saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, dia kemudian menghubungi nombor telefon pada nota yang ditinggalkan ah long tersebut.
Jelasnya, mereka (ah long) memberitahu mereka tersalah alamat yang mana ah long terbabit mahu menyimbah rumah sebelah.
Menurut Abdul Hadi, dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Skudai di sini pada pukul 11.43 pagi.
“Saya berharap pihak polis cepat bertindak dengan maklumat telah saya salurkan untuk mengambil tindakan terhadap ah long terbabit demi keselamatan awam,” katanya. – K! ONLINE