KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sempena sambutan hari ulang tahun agensi tersebut yang ke-53 pada Khamis lalu.
Al-Sultan Abdullah menyanjung tinggi khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan oleh warga SPRM dalam perjuangan mereka memerangi jenayah rasuah sejak agensi tersebut ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober 1967.
“Baginda turut menzahirkan keyakinan penuh warga SPRM akan terus memikul tanggungjawab dengan baik selain sentiasa bersedia menghadapi cabaran terkini dalam usaha-usaha membanteras jenayah rasuah.
“Seri Paduka menyarankan semua lapisan rakyat memberi sokongan padu kepada SPRM untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan telus, profesional serta berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah juga menyeru rakyat mengukuhkan lagi iltizam untuk memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara. – K! ONLINE