fbpx

Wanita tikam teman lelaki dijel 8 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita yang menikam teman lelakinya sehingga mengalami cedera parah, memakan diri apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairulbariyah Ahmad, 22, selepas tertuduh yang juga penganggur itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap semalam.

Mengikut pertuduhan, Hairulbariyah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Sadiqin Mukhlis, 22, dengan menggunakan sebilah pisau.

Kesalahan itu dilakukan di kaki lima hadapan sebuah unit kediaman sebuah flat di Cheras, di sini pukul 1.30 pagi pada 28 September lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Bagaimanapun pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan itu telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca dari pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh sehingga tertuduh bertindak menikam.

Ekoran kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kuala Lumpur (PPUKM) dengan pisau masih di dada.

Doktor yang merawat kemudian mengesahkan mangsa mengalami kecederaan bocor pada paru-paru kanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI