Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – “Mendiang seorang yang pemurah kerana suka menjamu keluarga dan rakan-rakan rapat datang ke rumah untuk makan bersama.
“Malahan mendiang juga seorang abang yang ceria setiap kali berkumpul dengan keluarga,” kata adik kepada mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, Peter Liew.
Peter yang ditemui di kediaman mendiang berkata, dia berada lobi Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) sewaktu pihak hospital memaklumkan abangnya itu sudah meninggal dunia.
Bagaimanapun, pihak keluarga masih belum dimaklumkan berkaitan laporan penuh bedah siasat tetapi setakat ini difahamkan abangnya meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.
“Abang mula dimasukkan ke GMC pada 9 September lalu selepas mengalami kekejangan pada bahagian paha serta pinggul sebelah kiri.
“Mendiang ada memberitahu beliau terlalu sibuk sebelum musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula.
“Beliau perlu duduk lama di dalam kereta kerana menggunakan jalan darat selama hampir lima jam ke beberapa lokasi termasuklah Sandakan, Keningau dan Ranau,” katanya.
Sementara itu, Peter yang kelihatan menahan sebak menyatakan mayat mendiang Liew bakal disemadikan di Nirvana Memorial Park, Telipok pada Isnin ini.
Liew yang sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen)
disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 pagi tadi pada usia 60 tahun.
Mendiang dipilih selaku Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu meninggalkan isteri, Datin Dr. Lindai Lee dan empat anak. – K! ONLINE