Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Tiga lagi lokasi tarikan pelancongan baharu yang bakal dibuka di negeri ini tidak lama lagi diyakini akan meningkatkan lagi kehadiran pengunjung luar ke sini termasuk memanjangkan tempoh masa untuk berada lebih lama.
Lokasi tersebut ialah Galeri dan Rumah Lat iaitu kartunis tersohor negara, Maze Garden@ TT5 (Kapal Korek Tanjung Tualang) dan Silverlakes Village Outlet yang kesemuanya terletak dalam daerah Batu Gajah.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, tambahan pula ketiga-tiga lokasi ini memiliki daya tarikan tersendiri serta kelainan selain kedudukannya yang mudah diakses dan berdekatan dengan Ipoh.
Menurut beliau, Galeri dan Rumah Lat yang dibina mengikut rekabentuk rumah tradisional Perak itu menempatkan karya-karya kartunis Kampung Boy itu akan dibuka pada November ini.
“Maze Garden@ TT5 yang terletak di Warisan Kampung Korek Tanjung Tualang yang berusia 82 tahun itu pula dijangka menerima pengunjung Disember nanti.
“Manakala Silverlakes Village Outlet iaitu pusat beli-belah berkonsepkan seperti Johor Premium Outlet itu pula dijangka dibuka pada tahun hadapan,” ujarnya semasa berucap pada Program Business Matching #TravelPeraklah di Hotel Kinta River Front di sini hari ini.
Program tersebut yang merupakan inisiatif kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dengan kerjasama Malaysian Chinese Tourist Association untuk memacu industri pelancongan pasca Covid-19.
Ia disertai 40 pengendali syarikat pelancongan tempatan, ejen pelancongan serta wakil-wakil hotel dan 42 agensi pelancongan dari Kuala Lumpur.
Tambah Nurmalis, program tersebut merupakan platform untuk mempertemukan para peserta selain mengukuhkan rangkaian kerjasama bagi meluaskan pemasaran pelancongan negeri Perak
Katanya lagi, kemajuan industri itu juga turut memberi keuntungan kepada semua pihak yang terlibat termasuklah merancakkan ekonomi setempat. -K! ONLINE