fbpx

Tatap wajah isteri sebelum pergi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Rosliman ditutup dengan kain selepas terjatuh ketika melaungkan azan di sebuah surau di Seksyen 27, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Perasaan sayu menyelubungi kira-kira 600 penghuni Apartmen Sri Ixora, Seksyen 27 di sini, apabila seorang ahli jawatan kuasa surau di kawasan itu meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.55 pagi itu, Rosliman Osman, 60, yang dipercayai maut akibat serangan jantung sempat melaungkan Allahuakbar sebelum terjatuh bersama mikrofon yang dipegangnya.

Rosliman yang berasal dari Mentakab, Pahang dan menghuni di apartmen itu sejak tiga tahun lalu sempat mengucap dua kalimah syahadah yang dilantunkan menerusi mikrofon dan didengari oleh kira-kira 600 penduduk.

Saksi kejadian, Ungku Abdullah Ungku Md. Aris, 38, berkata, ketika kejadian, terdapat tiga individu termasuk arwah di dalam surau ber­kenaan.

“Semasa melaungkan Allahuakbar, arwah terjatuh sebelum tidak sedarkan diri. Seorang jemaah segera menghubungi pasukan perubatan.

“Saya melakukan bantuan pernafasan resutasi pulmonari-kardio (CPR), manakala seorang lagi jemaah me­ngajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum ambulans tiba 10 minit kemudian,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ungku Abdullah berkata, arwah melaungkan azan tiga kali seminggu di surau tersebut dan disifatkan seorang yang peramah serta rajin membantu orang.

Gambar kenangan arwah Rosliman bersama anaknya.

Arwah yang mempunyai 10 anak berusia tujuh hingga 34 tahun banyak memberi cadangan untuk mengimarahkan dan menaik taraf kemudahan surau termasuk memasang papan tanda.

Jenazah Rosliman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini pada pukul 3 petang semalam.

Sementara itu, anak ketiga arwah, Mohd. Iddham, 30, berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian bapanya semasa bersiap untuk ke tempat kerja.

“Ibu (Siti Amnah Hanapi) beritahu arwah ayah kerap termenung dan menatap lama wajahnya sebelum turun ke surau.

“Saya berasa terkilan kerana arwah tidak sempat menyambut hari lahir saya pada Ahad ini dan membawanya untuk melawat cucu kelimanya yang berusia tiga hari di Kajang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, arwah mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi sejak 2016.

“Si mati mendapatkan rawatan susulan di Hospital Shah Alam. Dia kerap me­ngadu sakit dada dan bergantung dengan ubat yang dibekalkan hospital,” kata­nya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI