fbpx

Tagliafico calon pengganti Zinchenko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAGLIAFICO (kiri) hangat diperkatakan bakal menjadi pembelian baharu City sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada Isnin ini. – AFP

MANCHESTER – Manchester City berminat mendapatkan khidmat bintang Ajax, Nicolas Tagliafico jika pemain pertahanan kiri pasukan itu, Oleksandr Zinchenko memilih untuk berhijrah sebelum jendela perpindahan ditutup pada Isnin ini.

Difahamkan, pengurus City, Pep Guardiola, 49, merasakan Tagliafico sebagai calon paling sesuai menggantikan tempat Zinchenko, 24, berdasarkan pres­tasi cemerlangnya bersama Ajax sejak kebelakangan ini.

Sebagai rekod, Tagliafico, 28, berjaya membantu Ajax mencipta kejutan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada dua musim lalu.

Spekulasi perpindahan itu bertambah hangat selepas Guardiola tidak menyenaraikan Zinchenko dalam skuad utamanya ketika menewaskan Burnley 3-0 pada pusingan keempat Piala Liga di Turf Moor awal pagi semalam.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu memberi alasan bahawa pemain skuad antarabangsa Ukraine tersebut tidak boleh diturunkan kerana masih mengalami masalah kecederaan.

Guardiola sebelum ini pernah memberi alasan sama berhubung situasi Nicolas Otamendi yang tidak diturunkan sewaktu pusingan ketiga Piala Liga menentang Bournemouth bulan lalu.

Beberapa hari kemudian, City menjual Otamendi kepada jaguh Portugal, Benfica sebagai salah satu syarat pembelian pemain pasukan itu, Ruben Dias.

Justeru, Zinchenko mungkin berdepan nasib sama seperti bekas rakan sepasukannya itu bagi mewujudkan kekosongan posisi pertahanan kiri.

Ini sekali gus membolehkan City membeli Tagliafico yang dianggarkan bernilai £20 juta (RM107.4 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI