fbpx

Siasat pencerobohan di Hutan Simpan Chikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada penduduk kampung melihat kawasan pokok kelapa sawit yang didakwa ditanam dalam kawasan Hutan Simpan Chikus yang diceroboh secara haram.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa pihak berkuasa bertegas dan menyiasat isu pencerobohan di satu lagi kawasan di Hutan Simpan Chikus yang berstatus hutan simpan kekal yang terletak di daerah Batang Padang.

Dakwa mereka, perkara itu yang berlarutan sejak 20 tahun lalu pernah dilaporkan pelbagai pihak sebelum ini, malangnya tiada tindakan diambil.

Pegawai Lapangan Kuasa, Taufik Salleh berkata, keluasan kawasan yang diteroka haram adalah begitu luas sehingga menimbul persoalan sama ada pihak berkuasa pernah mengambil tindakan yang tegas atau sebaliknya.

Katanya, pada tahun 2010, sebuah NGO pernah mengetengahkan isu tersebut, tetapi penduduk setempat mendakwa kegiatan penerokaan haram masih berlaku sehingga kini.

“Kegiatan penerokaan haram di sebahagian Hutan Simpan Chikus telah memusnahkan litupan dan fungsi kepelbagaian hayat hutan serta memberi kesan kepada pencapaian pengurusan secara berkekalan.

“Kami kecewa kerana pihak-pihak lain yang meneroka kawasan Hutan Simpan Chikus dan melakukan penanaman kelapa sawit, lain-lain tanaman dan melepaskan haiwan ternakan tidak pula diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Taufik, kawasan yang diteroka haram tersebut perlu dikekal sebagai hutan simpanan kekal di samping perlu dipulihara semula dibawah Program Restorasi/Pemuliharaan Kawasan Terosot yang dilaksana oleh Jabatan Perhutanan.

Katanya, ini kerana sejak Hutan Simpan Chikus digazetkan pada 27 Februari 1914, dari semasa kesemasa hutan simpan tersebut telah dieksploitasi untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) dan sebahagian lagi telah dimansuhkan.

“Kuasa berharap pihak berkuasa negeri akan memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI