SEGELINTIR penyokong skuad Helang Merah memohon pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) agar mempertimbangkan kembali penggunaan nama Darul Aman FC (DFC) serta logo pasukan Kedah yang akan diswastakan nanti.
Terdahulu, nama dan logo DFC bagi menggantikan nama pasukan Kedah yang diswastakan nanti telah didedahkan oleh Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor kelmarin.
Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd. Safarizal Mohd. Sobri berkata, rata-rata penyokong kecewa dengan nama dan logo yang menggugurkan nama negeri Kedah, manakala reka bentuk logonya terlalu ringkas.
“Mahu cakap pun susah kerana apabila pasukan diswastakan, keputusan selepas ini mungkin terletak kepada pemegang saham.
“Namun, kita lega apabila Sanusi menerusi laman Facebooknya membayangkan penggunaan logo itu cuma bersifat sementara. Bagi saya, elok diubah dan dapatkan pandangan penyokong berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Sementara itu, Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Kedah, Ahmad Fazli Mansor berkata, para penyokong juga berharap ada ruang buat peminat turut serta memberi idea terhadap penggunaan nama dan logo pasukan.
“Logo yang ditunjukkan semalam nampak macam dibuat oleh budak sekolah. Kalau boleh, buatlah peraduan atau lantik pereka yang terlatih bagi menghasilkan logo agar lebih tampak gah.
“Nama yang digunakan kenalah ada nama Kedah. Nama Darul Aman FC ini nampak tidak berapa kena sedangkan selama ini kita menggunakan slogan Pulun Kedah Pulun,” katanya.
Tambahnya, rata-rata penyokong tidak kisah siapa pun yang akan menerajui kelab asalkan individu berkenaan dapat memberikan komitmen penuh kepada pasukan.
“Walau siapa pun yang berada di kedudukan itu, pastikan memiliki komitmen dan minat yang tinggi terutamanya dalam urusan bayaran gaji pemain serta mencari dana untuk pasukan,” katanya.