KUALA LUMPUR – Penghuni tingkat bawah sebuah pangsapuri di Persiaran Syed Putra di sini diarah mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh di kawasan rumah itu malam tadi.
Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah rumah kongsi didiami tujuh individu warga asing termasuk dua wanita terjejas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.58 malam.
Katanya, seramai 17 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah serta BBP Seputeh dikejarkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat hakisan tanah tebing di kawasan berkenaan yang menyebabkan bahagian bawah bangunan pangsapuri tiga tingkat itu terjejas.
“Susulan itu, seramai 11 penghuni di tingkat bawah dinasihatkan keluar atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat penilaian dan mendapati kediaman berkenaan tidak selamat didiami buat sementara waktu.
“Operasi itu selesai sepenuhnya pada pukul 11.45 malam dan kes tersebut diserahkan kepada pihak DBKL untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE