KUALA LUMPUR – Tanda pagar ‘MenteriKPTsilaletakjawatan’ menjadi trending di laman Twitter hari ini susulan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkaitan penangguhan pendaftaran pelajar pagi tadi.
Menerusi kenyataan itu, KPT mencadangkan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar baharu dan lama ke kampus masing-masing.
Tambah kenyataan itu, semua urusan pendaftaran pelajar berkenaan boleh dilaksanakan secara dalam talian termasuk sesi pengajian sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.
Setakat pukul 5 petang, tanda pagar berkenaan telah mendapat 24,500 ciapan.
Rata-rata netizen kecewa dengan kementerian terbabit yang mengeluarkan kenyataan terlalu lambat kerana kebanyakan pelajar dan keluarga mereka telah bergerak ke lokasi IPT masing-masing untuk mendaftar esok.
Ada juga mendakwa telah menghabiskan banyak masa dan wang untuk proses pendaftaran esok tetapi KPT telah menangguhkannya pula.
Ciapan daripada seorang pengguna twitter dengan nama panggilan Nadia sya@_eresbella mendapat ulang ciap paling tinggi iaitu 4,238 kali dengan 3,107 tanda suka.
Menerusi caipannya, wanita itu menggesa Menteri KPT meletakkan jawatan memandangkan beliau tidak mempertimbangkan hak mahasiswa semua.
Seorang lagi pengguna Twitter, Nadia J@AchuNadia turut meninggalkan ciapan yang telah mendapat ulang 4,145 kali dan 3,113 tanda suka.
“Hari ini ada yang dah daftar ke kampus dan hari ini jugalah baru KPT buat kata putus,”caipnya.
Tanda pagar ini telah mengalahkan #Trump yang pada awalnya trending nombor satu kerana dijangkiti Covid-19. – K! ONLINE