fbpx

Lelaki Myanmar ditemui mati berlumuran darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian di sebuah pondok di sebuah kawasan kolam udang, di Jalan Besar, Lumut Port Industrial Park, Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini pagi tadi.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah disyaki dibunuh di sebuah pondok di sebuah kawasan kolam udang di Jalan Besar, Lumut Port Industrial Park, Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata penemuan mayat mangsa yang juga pekerja kolam ikan itu dimaklumkan oleh majikannya di Balai Polis Ayer Tawar kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Berikutan itu, pihak polis telah ke tempat kejadian dan menjumpai mayat seorang lelaki disyaki warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan 30-an dalam keadaan berlumuran darah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap mayat itu menemui kesan kecederaan di bahagian kepala dipercayai dipukul rakan senegara dalam satu pergaduhan.

Bertindak atas maklumat, katanya, pihak polis menahan seorang lelaki warganegara Myanmar dalam lingkungan umur 20-an yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Nor Omar berkata, mangsa bekerja di kolam udang itu bersama dua pekerja lain manakala suspek pula adalah bekas pekerja dan menumpang tidur di rumah mereka.

Katanya, siasatan awal mempercayai mangsa dan suspek bergaduh namun punca pergaduhan, motif kejadian serta senjata yang digunakan masih dalam siasatan.

Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI