Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip sebanyak RM718,764 menerusi tawaran diskaun saman 70 peratus kepada pemandu dan pemilik kenderaan.
Daripada jumlah itu, ia melibatkan sebanyak 9,880 transaksi dengan RM485,413 berjaya dikutip pada Ogos dan RM233,351 pada bulan lalu daripada individu yang melakukan kesalahan trafik.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kutipan saman itu juga melebihi sasaran asal iaitu sebanyak RM500,000.
Menurutnya, saman itu juga dikutip daripada pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dilakukan seperti tidak memakai tali pinggang keledar, topi keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong dua barisan berkembar.
“Selain itu, mereka yang membayar saman ini juga telag melanggar lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan dan cermin gelap, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan aspek teknikal,” katanya.
Menurut Hanif Yusabra, sebanyak 89,882 saman tertunggak melibatkan pengguna jalan raya direkodkan di negeri ini dalam tempoh 10 tahun.
Tambahnya, pesalah yang gagal menjelaskan saman tertunggak dalam tempoh tertentu atau tidak hadir di mahkamah juga boleh dikenakan waran tangkap dan disenarai hitamkan. -K! ONLINE