Oleh SHAARANI ISMAIL
IPOH- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengeluarkan sebanyak 1,001 kompaun berjumlah lebih RM2 juta dalam empat Ops Gempur yang dilaksanaka di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, Ops bersepadu yang dilaksanakan itu adalah bertujuan memastikan pihak industri mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan lain di bawahnya.
“Ini bagi memastikan pihak industri sentiasa bersedia untuk mematuhi kehendak perundangan ketika menjalankan operasi premis di samping menunjukkan keseriusan JAS dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang melanggar perundangan alam sekitar.
“Diharapkan dengan pelaksaan Ops Gempur ini dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan, dapat memberi mesej kepada semua pihak bahawa JAS Perak serius dan komited dalam mengambil tindakan terhadap pesalah alam sekitar.
“Ia penting bagi memastikan pihak industri menjalankan operasi mengikut kehendak perundangan yang telah ditetapkan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan,” katanya pada sidang media Ops Gempur Barat di pejabat JAS Perak di sini, hari ini.
Katanya, Ops keempat yang dilaksanakan JAS Perak itu membabitkan seramai 31 pegawai yang dibahagikan kepada 10 pasukan membabitkan lokasi seliaan JAS cawangan Taiping dan Teluk Intan.
Beliau berkata, daripada siri operasi yang dijalankan, JAS dapat melihat ‘trend’ peningkatan bilangan kompaun tahun ini apabila Mac lalu sebanyak 102 kompaun bernilai RM204,000 dicatatkan diikuti pada Julai iaitu 188 kompaun (RM376,000) dan Ogos pula mencatatkan 305 kompaun berjumlah RM610,000.
Katanya, sebanyak 402 kompaun berjumlah RM812,000 dikeluarkan dalam Ops Gempur Barat yang berlangsung beemula 28 September hingga semalam.
Katanya, selain kompaun, sebanyak 76 premis diperiksa sepanjang ops berlangsung dengan 72 notis arahan dikeluarkan selain satu lesen digantung, penahanan operasi kelengkapan (3) serta empat kertas siasatan dibuka.
Rosli berkata, pihaknya juga akan terus memantau pihak yang melakukan kesalahan dalam operasi yang dilaksanakan selian memastikan mereka melakukan tindakan pembaikan dengan segera. -K! ONLINE