fbpx

IPD Penampang laksana SJR kuatkuasa tengah malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh IVAN AMIRUL

PENAMPANG – Polis Penampang bakal menguatkuasakan sekatan jalan raya (SJR) sebagai usaha mengawal pergerakan rentas sempadan antara beberapa daerah berhampiran bagi usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, SJR berkenaan bermula tengah malam ini selaras dengan pengumuman yang dibuat kerajaan persekutuan.

“Bagaimanapun, masyarakat di daerah ini masih boleh merentasi sempadan daerah dengan kebenaran polis atas beberapa alasan munasabah.

“Antara perjalanan yang dibenarkan termasuklah perkhidmatan penting seperti penghantaran bekalan makanan, perubatan dan berkaitan, alasan berkaitan pekerjaan serta keperluan perubatan ataupun pengurusan jenazah.

“Bagi orang awam yang tinggal di daerah lain tetapi bekerja di sini, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada majikan masing-masing.

“Begitu juga sebaliknya mereka yang berada di daerah ini yang mahu keluar daerah diminta supaya mendapatkan kebenaran daripada balai polis sebelum meneruskan perjalanan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Haris berkata, pihaknya difahamkan oleh Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah agar empat daerah berhampiran seperti Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Putatan diletakkan dalam satu zon untuk memudahkan pergerakan orang awam yang tinggal dan bekerja di antara daerah ini.

“Ia tertakluk kepada perkembangan semasa daripada Pesuruhjaya Polis Sabah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya

Sementara itu, Mohd. Haris berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, IPD Penampang sudah mengeluarkan sebanyak 350 kompaun ke atas orang awam.

Beliau berkata, dua kesalahan yang sering dikesan ialah membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai topeng penutup mulut dan hidung.

“Antara lokasi yang sering dikenalpasti melakukan kesalahan adalah kedai makan, cafe, kenderaan awan pusat hiburan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI