MADRID – Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui, bingung dengan status kecederaan dialami pemain sayap sensasi, Eden Hazard yang tidak dapat diturunkan ketika menewaskan Real Valladolid 1-0 pada aksi La Liga di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Sebagai rekod, Hazard, 29, masih belum membuat penampilan bersama Real dalam saingan musim ini dan dia sekali lagi dijangka terlepas perlawanan penting El Clasico menentang Barcelona pada 26 Oktober ini.
Zidane menegaskan, kehilangan Hazard adalah sesuatu yang sukar dijelaskan selepas bekas bintang Chelsea itu mengalami kecederaan dalam sesi latihan terakhir pasukan sebelum aksi menentang Valladolid.
“Saya tidak tahu tempoh masa Hazard akan direhatkan kerana jangkaan awal bahawa dia mengalami kecederaan ringan, tetapi sekarang sudah bertukar menjadi serius. Mungkin kerana dia sudah lama tidak beraksi secara kompetitif menyebabkan kecederaan ini berlaku.
“Saya sudah bercakap dengannya dan ternyata dia tidak gembira apabila terpaksa diketepikan sekali lagi. Namun, saya mahu dia kekal tenang kerana kami sangat berharap dia dapat kembali secepat mungkin,” kata Zidane.
Real berjaya meraih tiga mata hasil gol tunggal daripada Vinicius Junior pada minit ke-65 sekali gus melonjak ke tangga ketiga La Liga selepas tiga perlawanan setakat ini.
Juara bertahan itu dijadualkan menentang Levante dan Cadiz pada 4 dan 18 Oktober ini sebelum membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Barcelona di Stadium Camp Nou hujung bulan ini. – AGENSI