Oleh NOOR HAYATI MAMAT
MARANG – Program Jejak Budaya Marang (JDM) yang sedang berlangsung sejak 17 September lalu ditangguhkan mulai esok berikutan situasi semasa peningkatan kes pandemik Covid-19.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, antara program JDM yang telah dirancang di sekitar daerah ini sehingga 11 Oktober depan ialah Sehari di Dataran Batu Putih, Ngail@Kelulut, Demo Kraftangan, Pesta Rakyat Pasar Wakaf Tapai dan G’Lerang @Pasar Binjai Rendah.
“Penganjur iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Marang telah mengambil keputusan untuk menangguhkan program JBM yang sedang berlangsung berikutan perkembangan semasa kes Covid-19 yang kini telah kembali menular di Terengganu.
“Penangguhan ini merupakan langkah bertanggungjawab kami untuk mengekang penularan pandemik berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Tun Ahmad Faizal berkata, JDM merupakan inisiatif pihaknya untuk menarik pelancong domestik khususnya dari dalam Terengganu bagi melawat lokasi menarik di sekitar daerah Marang.
Tambah beliau, program itu bertujuan untuk memulihkan ekonomi setempat yang agak terjejas sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Program dilaksanakan di lokasi terbuka dengan pengunjung dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.
“Begitupun, ia perlu ditangguhkan berikutan peningkatan semula kes Covid-19 tempatan termasuk di Terengganu,” katanya. – K! ONLINE