AKIBAT bertindak biadab dan memukul seorang lelaki dalam satu kejadian pada 2018, penyanyi rap C Jamm berdepan hukuman setimpal dan bakal meringkuk di sebalik tirai besi.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kelab malam di Itaewon tersebut, C Jamm yang sedang menari di atas pentas telah mencurah air kepada sekumpulan pengunjung di situ.
Dia yang berada dalam keadaan mabuk juga dilaporkan telah menyerang salah seorang lelaki dikenali sebagai ‘B’ pada bahagian wajah sehingga menyebabkan hidung mangsa patah.
C Jam kemudian didakwa atas tuduhan menyerang meskipun mempertahankan diri dengan mendakwa lelaki itu terlebih dahulu memulakan serangan, namun pengakuannya ditolak hakim.
Hakim yang mengadili kes itu menilai kembali rekod lampau C Jamm yang sebelum ini pernah terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.
Penyanyi yang pernah menyertai program Show Me The Money musim kelima itu dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.
Namun, dia juga diberikan tempoh percubaan selama dua tahun dan perlu melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat sebanyak 120 jam.
Sekiranya gagal mematuhi tempoh percubaan, barulah dia akan berdepan hukuman penjara enam bulan.