KUALA LUMPUR – Seorang anggota wanita Balai Polis Bukit Puchong disahkan positif Covid-19 selepas pulang mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Wanita berusia 26 tahun itu dikatakan pulang ke kampungnya di Semporna, Sabah pada 9 September lalu sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin lepas.
Difahamkan, anggota tersebut memulakan tugas menjaga lokap Ibu Pejabat Polis Subang Jaya dan kaunter aduan Balai Polis Bukit Puchong sehari selepas pulang dari Sabah.
Anggota terbabit diarahkan pulang ke rumah selepas pihak Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan individu yang memiliki perjalanan dari Sabah perlu menjalani kuarantin wajib di rumah.
Difahamkan, wanita tersebut membuat ujian Covid-19 semalam sebelum disahkan positif.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan anggotanya positif Covid-19 selepas pulang ke kampung halaman untuk mengundi PRN Sabah.
“Anggota wanita itu kini sedang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya. – K! ONLINE