Oleh MOHD SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Seramai 750 anggota polis kini menjalani tempoh kuarantin kerana bertugas di Sabah ketika membantu melancarkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, anggota terlibat ditempatkan di hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Lebih kurang 500 sumber manusia diterbangkan dari Sarawak pada sehari sebelum PRN. Bakinya (250 orang) dari Semenanjung. Semua yang dari Sarawak sedang dikuarantin di Sarawak.
“Semua mereka masih dalam pemantauan dan belum menerima sebarang keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya ketika sidang media sejurus Program Sambutan Hari Inovasi PDRM 2020 di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramli menambah, polis sentiasa bersiap sedia sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi.
“Kita bersedia untuk PKP. Lagi pun, ini bukan pertama kali. Kita pernah buat (Mac lalu) dan kita buat dengan jayanya untuk membantu Majlis Keselamatan Negara,” katanya. – K! ONLINE