Oleh WAT KAMAL ABAS
BAGAN SERAI – Kehadiran puluhan ekor monyet dan babi hutan yang sering mengganggu serta merosakkan tanaman di tiga buah kampung dekat sini meresahkan penduduk.
Tiga kampung yang menjadi sasaran haiwan liar itu ialah Kampung Jalan Baru Matang Jelutong, Kampung Matang Jelutong dan Kampung Parit Jay melibatkan 480 buah rumah.
Seorang penduduk Kampung Jalan Baru Matang Jelutong, Abu Zek Jehari, 57, berkata, masalah itu sudah berlarutan hampir lima tahun, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.
Ujarnya, monyet-monyet itu kebiasaannya akan datang ke kampungnya secara berkumpulan sehingga 15 ekor tanpa mengira masa.
“Monyet-monyet ini ada yang masuk ke dalam rumah dan mencuri makanan sebelum diberikan kepada monyet lain yang menunggu di luar rumah.
“Ada juga monyet yang berlari-lari di atas bumbung dan ada pula yang terjun dari pokok kelapa sawit ke atas bumbung sehingga merosakkan zink,” katanya ketika ditemui semalam.
Abu Zek memberitahu, pada waktu malam, babi hutan pula yang datang berkeliaran di halaman rumah penduduk.
“Beberapa ekor babi hutan telah memusnahkan tanaman penduduk seperti ubi kayu dan sayur-sayuran,” ujarnya.
Katanya, aduan mengenai gangguan haiwan liar itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Selepas aduan dibuat, Perhilitan telah memasang perangkap besi dan hasilnya, sebanyak 13 ekor monyet dapat ditangkap dalam tempoh tiga hari.
“Bagaimanapun, masih terdapat sejumlah monyet lagi berkeliaran,” katanya.
Sementara itu, beberapa penduduk lain pula berharap Perhilitan turut mengambil tindakan terhadap babi hutan yang masih merosakkan tanaman mereka.
Abu ZEK menunjukkan perangkap monyet liar yang dipasang Perhilitan di Kampung Jalan Baru Matang Jelutong dekat Bagan Serai semalam.-K! ONLINE