IPOH – Rekod sejarah yang lengkap berperanan amat penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kejayaan Malaysia memenangi kes tuntutan Pulau Sipadan–Ligitan pada tahun 2002 disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh.
Titah baginda, sementara kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan Pulau Batu Putih pada tahun 2008 disebabkan
kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama dalam pembuktian kes.
“Kehilangan bahan arkib ialah kehilangan yang amat merugikan, menyamai kehilangan memori seseorang manusia, kehilangan yang tiada gantinya.
“Oleh itu, merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan.
“Perbuatan mengubah fakta sejarah ialah perbuatan tidak adil, satu perlakuan jenayah intelek, satu perbuatan jenayah keilmuan, yang menafikan hak generasi terkemudian memperoleh fakta sebenar,” titah baginda.
Sultan Nazri bertitah demikian pada Perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sultan Nazrin bertitah, kini data berperanan semakin penting dalam kehidupan insan dan dunia pada abad ke-21 sedang melalui era memperoleh maklumat dalam talian dengan kandungan maklumat dan bilangan pelanggan (clientele) yang semakin meningkat.
Baginda bertitah, dokumen semakin berbentuk elektronik, rekod semakin bersifat sejagat, membolehkan dan dibolehkan untuk diakses oleh warga dunia.
“Tugas arkivis kini bertambah kompleks, semakin mencabar untuk memenuhi permintaan para penyelidik yang memerlukan maklumat secara mudah, secara tepat, secara cepat,” titah baginda.
Sultan Nazrin secara peribadi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah dan kakitangan Arkib Negara yang telah membekalkan pelbagai bahan dan maklumat, membantu kerja-kerja penyelidikan baginda.
“Berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan Arkib Negara dalam usaha Beta menghasilkan dua buah buku sebelum ini dan pada masa ini dalam proses menghasilkan buku ketiga, Beta yakin dengan tahap profesionalisme para arkivis.
“Begitu juga dengan kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat yang berada dalam simpanan Arkib Negara,” titah baginda.
Titah baginda, cawangan Arkib Negara di negeri Perak ditubuhkan 27 tahun lalu, pada 1 Oktober 1993.
“Hari ini Arkib Negara di negeri Perak telah memiliki bangunan tersendiri. Beta menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukan membina Bangunan Arkib yang moden di negeri Perak.
“Semoga Arkib Negara Malaysia terus mara ke hadapan, berupaya berdiri sama tinggi dengan institusi arkib antarabangsa,” titah baginda. – K! ONLINE