MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane tidak berminat membeli penyerang sensasi Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez kerana sudah gembira dengan barisan pemain dimilikinya bagi menghadapi saingan musim ini.
Pengendali berusia 48 tahun itu menegaskan, beliau tidak memerlukan khidmat Jimenez memandangkan Real sudah mempunyai ramai pemain di bahagian serangan seperti Karim Benzema, Vinicius Junior, Marco Asensio, Eden Hazard dan Rodrygo Goes.
“Ini jawapan saya mengenai Jimenez. Saya sudah mempunyai pasukan yang lengkap, jadi saya tidak tahu dari mana datangnya spekulasi mengaitkan Real dengan Jimenez.
“Saya mahu memberi fokus kepada pemain-pemain sedia ada di sini. Saya gembira dengan prestasi semasa mereka ketika ini.
“Jendela perpindahan masih dibuka hingga 5 Oktober. Mungkin akan ada perbincangan tetapi saya sudah mempunyai pemain yang terbaik buat Real,” katanya.
Perpindahan Gareth Bale menyertai Tottenham Hotspur secara pinjaman telah menimbulkan spekulasi bahawa Jimenez akan dibeli bagi mengisi kekosongan satu slot di bahagian serangan juara bertahan La Liga itu.
Dalam perkembangan sama, Real mungkin akan melepaskan seorang lagi penyerangnya, Luka Jovic secara pinjaman dengan Manchester United dikatakan berminat untuk mendapatkan tandatangan bintang skuad antarabangsa Serbia itu. – AGENSI