PUTRAJAYA – Program Jualan Malaysia (PJM) 2020 yang sedang berlangsung sejak Julai lalu hingga Disember depan semakin hampir mencecah nilai jualan RM50 bilion.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan sambutan diterima, pihaknya yakin program itu dapat mencapai sasaran awal sebanyak RM100 bilion.
“Melihat kepada sambutan baik yang diterima dari negeri-negeri, kami yakin program ini mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Hero Market di sini semalam.
Menurut beliau, meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 masyarakat suka memilih membeli-belah secara online atau berkunjung ke pusat beli-belah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Bagi menjayakan PJM dan KBBM, kira-kira 170,000 premis perniagaan terlibat.
PJM 2020 berlangsung serentak dengan kempen tersebut menyasarkan nilai jualan RM100 bilion, manakala nilai jualan bagi KBBM disasarkan RM513 juta.