SEJENAK berbual bersama penyanyi tinggi lampai, Mimi Fly, seperti terbit satu perasaan kagum dengan kekuatan yang ada dalam dirinya tatkala dia bercerita tentang kehidupan pasca perceraian dengan bekas suaminya, Mohd Firdaus Hajar, tiga tahun lalu.
Menelusuri kehidupan pemilik nama penuh Shamimi Amalina Norhisham selepas bergelar janda, dia mengakui amat perit menempuh fasa getir tersebut.
Penyanyi berusia 34 tahun memberitahu, segala keperitan dan kedukaan yang dirasainya sepanjang melalui tempoh sukar itu diluncurkan menerusi karya terbaharunya berjudul Hujan yang juga merupakan lagu tema bagi filem Bisikan.
Padat dengan rasa dan emosi, itu yang dapat digambarkan tatkala mendengar lagu hasil keringat bekas ahli One Nation Emcee itu.
Hujan
Menurut Mimi, lagu duet bersama Altimet itu berkisarkan kisah duka lara yang diubati dengan rintik hujan, sekali gus membasuh noda-noda yang tercoreng dalam kehidupan seorang manusia.
“Bagi saya, hujan yang turun daripada awan kelabu itu ialah rintik air yang membasahi serta membasuh kekotoran di bumi.
“Metafora hujan daripada seorang Mimi ialah sesuatu yang memulihkan luka dan duka seorang manusia serta mampu memberi kedamaian kepada jiwa yang pernah dilanda duka,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu Anak Kampung bersama Jimmy Palikat itu menambah, dia memilih tajuk lagu tersebut kerana secara kebetulan hujan turun dengan lebat di saat dia memerah otak menyiapkan karya tersebut.
“Lirik, bunyi dan mesejnya sangat menepati dengan apa yang saya hendak sampaikan kepada para pendengar. Idea untuk menghasilkan lagu itu datang secara tiba-tiba ketika saya sedang mendalami dan memahami jalan cerita filem Bisikan.
“Syukur, selepas lima bulan, akhirnya lagu itu siap ketika semua sibuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan. Saya sangat sukakan hasilnya, malah kedengaran sangat sebati dengan jalan cerita filem tersebut,” katanya dengan nada teruja.
Ujar Mimi, dia sangat bersyukur kerana pihak produksi memberi kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan lagu tema bagi filem tersebut.
“Saya tak sangka mereka suka dengan hasil-hasil kerja saya sebelum ini. Sangat seronok kerana dapat berkarya dan orang lain pun menyukainya.
“Perasaan itu tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Malah, apabila dengar lagu Hujan, karya ini mampu menenangkan hati saya, Saya sendiri suka buat lagu yang bila saya dengar semula, rasa damai itu muncul,” ujarnya.
Ujarnya, karya tersebut juga merupakan luahan rasa dan tentang konflik dalaman yang pernah dia dan Altimet rasakan sepanjang hidup.
“Kalau dengar Hujan, anda akan dapat rasakan konflik yang kami cuba luahkan. Saya tuliskan apa yang saya rasa, Altimet juga beri apa yang dia rasakan. Paduan kami menjadi.
“Hasilnya sangat hebat. Komposer lagu ini, Khairafik Khairudin berjaya rangkumkan hasil saya dan Altimet dengan baik sekali,” tuturnya
Pasca perceraian
Tatkala diusik mengenai jalan cerita Hujan yang kedengaran seperti berkaitan tentang hidupnya, Mimi tidak teragak-agak untuk membuka cerita pengalaman lalu yang disemai dalam lagu tersebut.
“Oh! Saya pernah lalui fasa depresi tiga tahun lalu, sewaktu saya mula-mula bercerai dengan bekas suami. Sangat sukar perjalanan hidup saya, struggle sangat!
“Jadi Hujan itu ibarat kehidupan kedua yang membasuh luka-luka yang pernah mengoyakkan hati sehingga saya mengalami depresi yang agak teruk,” ujarnya.
Tidak segan berkongsi kisah tersebut, Mimi memberitahu, fasa tersebut telah mengajarnya untuk menjadi seorang wanita yang lebih kuat selepas jatuh tersungkur menyembah bumi.
Bahkan dia tidak menolak apabila perceraian merupakan faktor utama yang membuatkan dirinya mengalami depresi.
“Saya sama seperti wanita lain, apabila sudah berkahwin, saya letakkan hidup dalam satu peringkat dan harapan yang tinggi.
“Tetapi sayangnya impian itu tidak kesampaian dan apabila gagal, memang beri impak yang sangat besar dan teruk kepada diri sendiri. Depresi yang saya alami bukan setakat menangis dan termenung seorang diri tetapi lebih teruk daripada itu hingga terikut-ikut suara-suara dalam kepala,” katanya lagi.
Rawatan
Tambahnya, selepas bercerai, dia terpaksa memulakan semula kehidupannya dengan cara dan persekitaran yang baharu.
“Kalau dibayangkan semula waktu itu, perit. Saya terpaksa mulakan hidup saya, bermula dengan kosong.
“Memang susah untuk saya dapatkan rawatan pada peringkat awal tapi akhirnya saya gagahkan juga untuk bertemu dengan pakar terapi untuk membantu merawat masalah ini.
“Untuk masalah seperti ini, kita perlu dapatkan seseorang untuk bercakap, berborak mengenai masalah kita.
“Jangan biar diri hanyut dengan suara-suara halus tersebut sebab benda itu akan makan diri sendiri,” katanya lagi.
Katanya, kesukaran untuk mendapatkan rawatan bukanlah disebabkan malu dengan orang sekeliling tetapi lebih cenderung ke arah tidak sedar dirinya mengalami kecelaruan emosi.
“Saya tak malu tapi saya sendiri tak tahu yang saya ada masalah kecelaruan tetapi sampai satu masa, saya sendiri tersedar, kenapa saya cepat marah, berkurung dan selalu tidur.
“Jadi, saya nasihatkan, sesiapa yang alami masalah gangguan mental seperti saya, pergi dapatkan rawatan segera. Masyarakat sekeliling pula jangan terus menghentam, sebolehnya berilah sokongan.
“Tapi alhamdulillah, dengan bantuan dan sokongan keluarga dan rakan, saya bangkit semula melawan semua kepedihan tersebut.
“Bukan mudah tapi saya semakin gembira dengan kehidupan sekarang, lebih tenang dan bijak atur kehidupan,” katanya seraya menutup perbualan.