KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal patah kaki dan tangan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam lebih dua meter di Pandan Indah di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan tentang kejadian pada pukul 3.05 petang sebelum bergegas ke lokasi.
“Seramai tujuh anggota bersama satu jentera dari BBP Pandan Indah telah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi anggota bertugas mendapati berlaku kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal yang terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman lebih dua meter,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa, seorang lelaki India mengalami patah kaki dan tangan.
Mangsa berjaya dinaikkan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE