KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 badan bukan kerajaan (NGO) bergabung dibawah gerakan Malaysian4Uyghur berkumpul di hadapan kedutaan China di ibu negara hari ini.
Setiausaha Malaysian4Uyghur, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kehadiran mereka kira-kira pukul 4 petang itu bertujuan menyerahkan memorandum bantahan berhubung ketidakadilan yang dialami etnik minoriti Muslim, Uyghur di Xinjiang.
“Kami cuba menyerahkan memorandum bantahan dan kotak mengandungi ‘hand sanitizers’ serta pelitup muka kepada kedutaan China sebagai simbolik buat entik Uyghur.
“Kami bagaimanapun tidak dibenarkan melakukan serahan secara rasmi kepada pihak kedutaan China,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Penasihat Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia (Ancom), Jason Leong berkata, walaupun mereka gagal melakukan serahan itu, usaha berkenaan diharap dapat membuka mata ramai pihak.
Menurut beliau, isu ketidakadilan dialami etnik Uyghur bukan tentang agama, tetapi tentang aspek kemanusiaan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Kata beliau, majoriti masyarakat di Xinjiang adalah muslim, namun terdapat kira-kira dua peratus penganut Kristian di kawasan tersebut. – K! ONLINE