Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu yang bertugas di sebuah taman bimbingan dan asuhan kanak-kanak (Tabika) di Bandar Al-Mukyafi Billah Shah, Bukit Besi dekat sini disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kemas negeri, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata, pengesahkan itu menyebabkan tabika berkenaan telah diarahkan menutup operasi serta-merta berkuatkuasa hari ini.
Beliau berkata, tabika itu ditutup sebaik menerima arahan Jabatan Kesihatan Terengganu dan premis itu telah disanitasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri hari ini.
“Kakitangan Kemas Terengganu yang positif Covid-19 tersebut telah melakukan perjalanan ke Sabah atas urusan peribadi pada 21 September lalu.
“Dia telah menjalani rawatan di Hospital Hulu Terengganu setelah disahkan positif Covid-19 pada 29 September lalu (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ahmad Fakhrul Azman berkata, dua guru tabika berkenaan yang juga kontak rapat pula menjalani kuarantin wajib di Pusat Kuarantin Padang Kachong, Marang sejak semalam.
Tambah beliau, Jabatan Kesihatan negeri juga telah mengarahkan semua 20 kanak-kanak tabika berkenaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19. – K! ONLINE