Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Selari dengan kemajuan teknologi, beberapa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Segamat dibekalkan dengan Pesawat Udara Tanpa Pemandu atau dron.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full berkata, dron berkenaan bertujuan untuk memudahkan kerja pemantauan kawasan sekitar.
“Penggunaan teknologi terkini seperti dron ini dalam melakukan rondaan dan kawalan diyakini dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan setempat.
“Ini kerana kawalan dengan mengguna dron dapat dibuat secara lebih efisien dan menyeluruh,” kata ketika hadir merasmikan Program Komuniti Selamat dan Semarak Perpaduan Peringkat DUN Pemanis, di Segamat dekat sini.
Dalam program itu, Fat Full menyerahkan tiga buah dron kepada Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Segamat dan Pejabat Kebajikan Wahda Ledang menerima sebuah dron masing-masing.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Johor, Safidah Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat.- K! ONLINE