MANCHESTER – Manchester United sedia menjadikan pemain sayap Barcelona, Ousmane Dembele sebagai pengganti jika gagal menyambar khidmat bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho sebelum jendela perpindahan tutup pada Khamis ini.
Difahamkan, The Red Devils akan mengemukakan bidaan terakhir kepada Dortmund yang pernah menolak tawaran buat Sancho bernilai £91.2 juta (RM486.9 juta) baru-baru ini.
Pemain berusia 20 tahun itu tetap menjadi buruan utama United yang kini dilaporkan sedia berunding buat kali terakhir selepas gergasi Liga Perdana Inggeris berkenaan enggan membayar permintaan Dortmund berjumlah £108 juta (RM576.5 juta).
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dikatakan mempunyai ‘pelan B’ dengan menjadikan Dembele sebagai pilihan kedua selepas alternatif sebelum ini iaitu Gareth Bale memilih untuk menyertai Tottenham Hotspur secara pinjaman daripada Real Madrid.
Bagaimanapun, Barcelona dipercayai hanya berminat melepaskan Dembele, 23, secara pinjaman walaupun bintang skuad antarabangsa Perancis itu lebih banyak menghabiskan masa di tepi padang kerana sering terpalit dengan masalah kecederaan.
Sebagai rekod, perpindahan Dembele ke Barcelona dengan nilai perpindahan tinggi berjumlah £96.8 (RM516.7 juta) tiga tahun lalu membuka peluang buat Sancho dibeli Dortmund daripada Manchester City bagi mengisi kekosongan tersebut.
Selain Dembele, Solskjaer turut mempertimbangkan peluang menandatangani dua pemain yang jauh lebih murah iaitu Ivan Perisic dan Douglas Costa. – AGENSI