Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengarahkan Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus di Kepala Batas di sini ditutup sehingga 8 Oktober ini ekoran seorang guru di sekolah terbabit dikesan positif Covid-19.
Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad mengesahkan arahan penutupan itu dan tindakan berkenaan diambil atas faktor keselamatan serta langkah berjaga-jaga daripada penularan pandemik Covid-19.
“Sekolah terbabit ditutup selama lapan hari bermula hari ini dan tindakan selanjutnya akan diputuskan selepas mesyuarat dengan pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sejak tengah hari tadi, tular di media sosial gambar berhubung ujian saringan Covid-19 yang dijalankan terhadap murid sekolah itu.
Difahamkan, guru wanita terbabit dilaporkan kurang sihat dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah.
Guru wanita itu dipercayai adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) itu baru-baru ini.
Tinjauan Kosmo! hari ini mendapati kebanyakan ibu bapa menunggu di pagar sekolah sementara menantikan anak masing-masing selesai melakukan ujian saringan oleh pihak kementerian.
Difahamkan, pihak sekolah memaklumkan waris bahawa kira-kira 600 murid perlu menjalani ujian saringan Covid-19 menerusi aplikasi WhatsApp. – K! ONLINE