KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Kuala Lumpur menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbang tempoh satu bulan tempoh migrasi pembayaran parkir yang mana tindakan saman tidak dikenakan terhadap pengguna tempat letak kereta bahu jalan.
Menurut mereka, arahan terbaharu DBKL itu akan memberi kesan kepada pengguna yang perlu berhijrah atau bermigrasi dari aplikasi lama ke yang baharu, termasuk isu baki akaun JomParking yang perlu dipindahkan atau dipulangkan.
“Kami difahamkan mesin pembayaran bagi tempat letak kereta bahu jalan diberhentikan serta-merta, dan aplikasi JomParking juga bukan salah satu e-wallet yang akan digunakan bermula hari ini (1 Oktober).
“Setakat 2016, terdapat sebanyak 46,100 petak parkir bahu jalan. Pada masa yang sama, setakat Disember 2019, kami difahamkan terdapat seramai 330,000 pengguna aplikasi JomParking,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan dikeluarkan oleh Tan Kok Wai, Fahmi Fadzil Hannah Yeoh, Nik Nazmi Nik Ahmad serta beberapa Ahli Parlimen PH lain di Kuala Lumpur.
Menurut mereka, pengguna yang tidak biasa menggunakan e-wallet juga akan terkesan dengan ketiadaan mesin pembayaran fizikal, dan kempen kesedaran bersesuaian juga perlu dilaksana segera.
“Kami juga menggesa agar isu baki akaun JomParking diselesaikan dengan segera, sama ada dengan pemindahan baki tersebut dari akaun JomParking ke mana-mana akaun e-wallet lain yang dipilih pengguna, atau dengan pemulangan baki penuh kepada pengguna.
“Sebagai wakil rakyat Kuala Lumpur, kami akan terus memantau isu ini dan bersedia membantu pihak DBKL dan pengusaha JomParking untuk mencari penyelesaian terbaik demi kebaikan warga Kuala Lumpur,” menurut mereka. – K! ONLINE