ANKARA – Seorang pekerja kedai kebab dijatuhi hukuman penjara 24 tahun kerana membunuh dan mengerat-ngerat mayat anak perempuannya menggunakan pisau pemotong daging pada Januari tahun lalu, lapor akhbar The Sun UK.
Tertuduh, Hasan Uslu didakwa mencekik Didem Uslu, 32, hingga mati di daerah Kesan, barat laut Turki kerana mendapati mangsa pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.
Hasan mendakwa kejadian itu adalah kesalahan anak perempuannya kerana lewat pulang dalam keadaan mabuk dan menghina ibu sendiri.
Ibu dan anak itu turut bertikam lidah pada hari kejadian. Hasan menyatakan dia meminta mangsa untuk menunjukkan rasa hormat kepada ibu sendiri, sebaliknya mangsa berlawan balik lalu menyebabkan tertuduh hilang sabar lalu membunuhnya.
Tertuduh menghadiri perbicaraan melalui penstriman video. Isterinya, Sati turut didakwa kerana gagal melaporkan jenayah itu. Bagaimanapun Sati dikatakan tidak hadir semasa sesi perbicaraan.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati tertuduh melakukan pembunuhan dengan niat dan dihukum penjara selama 24 tahun.
Sati kemudiannya dibebaskan daripada tuduhan berkait pembunuhan Didem.
Dia mendakwa berasa tidak sihat selepas bertengkar dengan mangsa lalu kembali ke bilik sendiri sebelum pengsan.
Pada Januari tahun lalu, seorang pejalan kaki menemui lengan manusia dibalut surat khabar dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa. Polis melakukan ujian cap jari dan mendapati anggota badan itu milik Didem. – Agensi